Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, aperture di dalam Bahasa Melayu dieja sebagai apertur. Namun, adakalanya, aperture disebut juga sebagai ‘bukaan’ di dalam Bahasa Melayu.
Aperture adalah satu bahagian yang terletak di dalam lensa yang berfungsi untuk mengawal jumlah cahaya yang masuk ke dalam kamera. Aperture ialah satu mekanisma yang boleh dilaras saiz bukaannya dari saiz bukaan yang paling kecil hinggalah ke saiz bukaan yang paling besar.
Rupa sebenar aperture yang terdapat di dalam lensa. Gambar di atas menunjukkan saiz bukaan aperture yang kecil
Perbezaan aperture besar dan aperture kecil
Aperture dengan saiz bukaan yang besar akan membolehkan banyak cahaya masuk ke dalam kamera. Ini bermaksud, gambar boleh menjadi lebih cerah. Jadi, ketika merakam gambar di tempat yang gelap, kita perlu menggunakan aperture yang lebih besar supaya gambar kita menjadi lebih cerah.
Sebaliknya, apabila merakam gambar di tempat yang cerah, kita sepatutnya menggunakan aperture yang lebih kecil agar kurang cahaya dapat masuk ke dalam kamera. Lalu, gambar yang akan dihasilkan tidak menjadi terlalu terang.
Selain dari saiz bukaan aperture yang ditunjukkan di atas, ada banyak lagi saiz bukaan aperture dari yang paling kecil hinggalah ke saiz bukaan yang paling besar. Setiap saiz bukaan aperture ini mempunyai nilai yang telah ditetapkan dan nilai ini digunapakai oleh semua jenis kamera tidak kira dari jenama apa sekalipun.
Nilai aperture sepatutnya ditulis seperti ini – f/5.6 (salah satu contoh) Huruf F sepatutnya ditulis dalam huruf kecil dan dicondongkan (italic). Ini kerana, huruf F tersebut sebenarnya merupakan simbol untuk formula bagi mendapatkan nilai aperture. Tetapi, pada kamera, nilai aperture ini adakalanya ditulis sebagai 5.6 sahaja tanpa tulisan ‘f/’ di depannya. Atau, ada juga kamera yang menunjukkan nilai f/5.6 dengan menggunakan huruf F dalam abjad besar seperti F5.6 dan sebagainya. Walaupun ada perbezaan dari segi cara penulisannya, ianya tetap merujuk kepada perkara yang sama.
Untuk membolehkan anda melaraskan aperture secara manual, anda perlu laraskan Exposure Mode kepada Manual atau Aperture Priority. Aperture Priority pada kamera Nikon ditandakan dengan huruf A. Pada kamera Canon, Aperture Priority dinamakan sebagai Aperture Value dan ditandakan dengan huruf AV. Jika anda menggunakan tetapan automatik yang lain, anda tidak akan dapat mengawal aperture anda. Sila rujuk buku manual kamera anda bagi mengetahui dengan tepat cara untuk melaraskan aperture pada kamera anda.
Pada peringkat ini, anda mungkin akan berhadapan dengan masalah apabila cuba mempraktikkan kawalan aperture seperti yang diterangkan di dalam bab ini kerana, untuk mengawal aperture dengan betul, anda juga perlu faham mengenai perkara lain yang belum kita pelajari seperti shutter, ISO dan exposure meter. Anda disarankan untuk memahami secara teori sahaja dahulu mengenai aperture di dalam bab ini. Di dalam bahagian akhir nanti, setelah anda memahami keseluruhan kawalan pada kamera, barulah anda dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari dengan lebih mudah. Ini kerana, ada beberapa perkara penting pada kawalan kamera yang saling berkaitan diantara satu sama lain.
Gambar di atas menunjukkan nilai-nilai aperture yang berbeza – dari saiz bukaan aperture yang paling kecil hinggalah ke saiz bukaan aperture yang paling besar. Di dalam gambar di atas, kita dapat lihat bahawa, aperture dengan nilai f/2 memberikan saiz bukaan aperture yang paling besar manakala aperture dengan nilai f/22 memberikan saiz bukaan aperture yang paling kecil
Selain dari nilai-nilai aperture yang ditunjukkan di atas, terdapat banyak lagi nilai aperture yang lain. Di dalam rajah di atas, saiz aperture yang paling besar yang dinyatakan adalah f/2. Tetapi, sebenarnya ada lagi saiz aperture yang lebih besar, iaitu f/1.0 dan sebagainya. Begitu juga dengan aperture paling kecil yang ditunjukkan di dalam rajah di atas, iaitu f/22. Sebenarnya, ada lagi aperture lain yang lebih kecil dari f/22, iaitu seperti f/32 dan seterusnya. Nilai-nilai aperture yang tidak dinyatakan di dalam rajah di atas adalah nilai-nilai aperture yang jarang digunakan kerana ianya hanya terdapat pada lensa-lensa yang tertentu sahaja.
Gambar di atas menunjukkan perbezaan kecerahan (exposure) yang didapati dengan menggunakan aperture yang berlainan. Di dalam contoh diatas, didapati aperture f/5.6 memberikan hasil gambar dengan normal exposure. Tetapi, perlu diingat, aperture f/5.6 tidak semestinya menghasilkan normal exposure – ia bergantung kepada kekuatan cahaya sewaktu sesuatu gambar dirakam.
Thank you for reading